Sunday, January 20, 2008

Faizal Tahir tidak dibenarkan sertai AJL22?


19-01-2008 01:59:17 AM
oleh WAHIDA ASRANI dan SITI AZIRA ABD.AZIZ


SHAH ALAM: Mungkinkah penyertaan penyanyi yang sedang meningkat naik, Faizal Tahir pada peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-22 (AJL22) 27 Januari ini digugurkan berikutan kontroversi yang sedang melanda penyanyi ini?

Faizal yang dikecam hebat ekoran perbuatannya menanggalkan baju sehingga mendedahkan badannya yang disembur dengan cat merah berbentuk `S' ketika siaran langsung `Rockin Birthday Concert' yang disiarkan di 8TV pada 13 Januari lalu telah mendapat perhatian serius oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

SKMM siang tadi mengeluarkan kenyataan rasmi yang melarang 8TV membuat siaran langsung mahupun tertunda bagi konsert dan semua rancangan hiburan untuk tempoh tiga bulan bermula 15 Januari lalu.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh SKMM itu turut menyebut sebarang permohonan siaran langsung dan tertunda oleh stesen televisyen lain yang mahu menampilkan Faizal adalah tidak dibenarkan dalam tempoh yang ditetapkan.

Jika berdasarkan kepada kenyataan tersebut, Faizal pastinya tidak berpeluang untuk beraksi di AJL22 terbitan TV3 kelak, di mana dia adalah satu-satunya penyanyi yang mempertaruhkan lebih daripada sebuah lagu pada acara berprestij itu yang bakal disertai oleh nama-nama besar lain seperti Datin Seri Siti Nurhaliza dan Mawi.

Mengulas mengenai perkara tersebut, kata Ketua Pegawai Operasi 8TV, Ahmad Izham Omar, dia akui amat tertekan dengan masalah tersebut kerana ia belum pernah berlaku sepanjang empat tahun stesen televisyen tersebut beroperasi.

"Apapun, kami terima keputusan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya. Kita masih akan berbincang dengan Suruhanjaya untuk lihat bagaimana kita boleh memperbaiki perkara ini.

"Lagipun, hanya tiga program kami yang tidak dibenarkan disiarkan secara langsung iaitu One In A Million, Project Superstar dan American Idol serta sebarang program kami yang berbentuk nyanyian dan persembahan pentas.

"Untuk program-program ini, kita akan buat rakaman terlebih dahulu tetapi ia tetap akan disiarkan pada masa yang telah dijadualkan seperti biasa, seperti OIAM tetap akan disiarkan pada hari Jumaat walaupun ia adalah dalam bentuk rakaman.

"Buat masa ini, Faizal memang tidak akan 'berada' di 8TV selama tiga bulan, tetapi tentang pembabitannya di dalam AJL22, kami sendiri tidak pasti bagaimana. Kami akan berbincang tentang perkara tersebut dengan pihak-pihak tertentu.

"Secara peribadi, memang kami ingin Faizal bertanding dalam program itu. Kita akan bincang dan mungkin akan merayu bagi pihaknya jika perlu berbuat demikian," kata Izham yang ditemui pada sidang media sejurus selepas berakhirnya program OIAM, di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, malam tadi.

OIAM yang disiarkan malam tadi merupakan yang terakhir disiarkan secara langsung oleh 8TV sebelum ia disiarkan dalam bentuk rakaman bermula minggu hadapan.

"OIAM malam ini dikecualikan setelah SKMM sendiri memberi pelepasan kepada kami memandangkan masa agak suntuk kami buat sebarang tindakan.

"Apapun, kami lihat dari sudut positif dan akan memastikan insiden seperti ini tidak berlaku lagi. Memang sedikit sebanyak perkara ini mendatangkan kesan negatif kepada kami, lebih-lebih lagi dari segi penerbitan.

"Tetapi, kami tahu insiden tersebut adalah satu kesalahan besar dan kami terima keputusan SKMM," jelas Izham lagi.

Izham yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Monkey Bone Records, di mana Faizal adalah salah seorang artis di bawah naungan syarikat tersebut berkata, hukuman yang dikenakan oleh 8TV terhadap penyanyi itu iaitu melakukan kerja amal selama enam bulan tetap akan diteruskan dan dijangka akan bermula pada 1 Februari ini.


No comments: